alhamdulillah. setingi-tinggi kesyukuran kupanjatkan kepada buat Rabbul 'Izzati kerana berakhirnya suatu penantian. Penantian untuk menghabiskan semua kertas peperiksaan akhir untuk semester ini. 3 minggu adalah suatu yang tempoh lama bagi saya sebab sebelum ini, biasanya jadual peperiksaan saya tidak akan melebihi 1-2 minggu. secara kasarnya, alhamdulillah saya telah berjaya melepasi kesemua subjek dan boleh saya katakan saya telah melakukan dengan baik. biasalah sekiranya ada soalan-soalan yang tidak dapat dijawab, tidak cukup masa dan keliru dengan pilihan jawapan. saya mengalami semua perkara itu. tidak apa, kesalahan mengajar saya menjadi lebih berhati-hati. yang pasti, saya telah melakukan sehabis baik kerana memang prinsip saya untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua kerja/tugas yang perlu saya siapkan. saya sangat tidak suka dengan kerja/output yang tidak berkualiti; seolahnya sekadar melepaskan batuk di tangga. pentingnya untuk melakukan yang terbaik kerana kita adalah duta kecil Islam, jadi sudah tentu kita tidak mahu melabel kita sebagai Muslim yang pasif. saya mahu dalam masa dunia mengecam orang Islam, sekurang-kurangnya masyarakat di negara kita umumnya dan secara khususnya pelajar bukan Muslim di kampus saya dan secara spesifiknya lagi rakan-rakan sekuliah saya nampak kecemerlangan orang Islam yang 'well-rounded' dalam semua perkara. sentiasa proaktif dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masyarakat dan pada masa yang sama cemerlang dalam pelajaran. dari segi pergaulan, sudah tentu kita harus menunjukkan peribadi yang menyejuk mata. pada hemat saya, ini merupakan salah satu cara untuk mewujudkan rasa hormat mereka pada kita. siapa tahu di sudut kecil hati mereka, akan timbul satu rasa kagum pada orang Islam yang mungkin mendorong mereka terfikir 'indahnya Islam itu'. ini pun suatu kaedah dakwah secara tidak langsung yang dapat kita aplikasikan iaitu melalui contoh tauladan. saya hanya boleh berdoa banyak-banyak agar apa yang telah saya jawab dalam dalam peperiksaan itu menepati kehendak pensyarah saya. mudah-mudahan peperiksaan kali ini membuahkan hasil yang cemerlang, insya-Allah ('',)
.:: episod kedua ::.
usai peperiksaan akhir, maka bermulalah cuti antara semester kira-kira sebulan. mungkin kawan-kawan saya yang lain dapat 'berjimba' (bersuka ria) sepanjang tempoh cuti sebulan ini tetapi tidak bagi saya dan beberapa kawan saya yang lain. cuti ini perlu kami manfaatkan semaksimum mungkin untuk menghabiskan eksperimen-eksperimen di makmal. oh ya, hanya beberapa orang sahaja yang mengambil subjek FEL472/4 (Latihan Penyelidikan); kalau tidak silap hanya 7 orang daripada 124 orang. boleh saya katakan kami adalah golongan yang sengaja mencampakkan diri dalam situasi yang berisiko tinggi. subjek ini bergantung sepenuhnya ke atas hasil kajian kami. tiada peperiksaan bertulis. pada hujung semester hadapan kami akan di'viva' oleh pensyarah. saya sendiri tidak faham apa perlunya saya mengambil subjek ini terdapat seakan ada suatu semangat kecil dalam diri saya yang memaksa saya untuk mendaftar dengan subjek ini. boleh sahaja saya ambil subjek elektif lain yang memerlukan saya pergi ke kuliah seperti biasa dan kemudian menduduki ujian di hujung semester. mungkin kerana saya sukakan sesuatu yang baru dan lebih mencabar. mungkinkah? barangkali sebab saya tahu risiko yang perlu saya hadapi sekiranya saya menjalankan projek tahun akhir ini tetapi risiko tersebutlah yang menjadi mangkin buat diri saya untuk melakukan dengan lebih baik. dalam kata lain, saya ingin menguji kemampuan diri saya. manalah tahu ada bakat-bakat terpendam yang tidak pernah saya cungkil sebelum ini. dan apa yang menarik dalam ketujuh-tujuh orang ini, hanya saya seorang sahaja yang menjalankan kajian dalam bidang farmakologi. agak tertekan juga sebab tiada tempat mengadu sekiranya eksperimen yang dijalankan menemui kegagalan tetapi mungkin inilah yang Allah sudah rancang buat saya; agar saya lebih tabah dan cekal untuk menghadapi semua mehnah dan tribulasi yang telah tersedia untuk saya. untuk diri saya, berkali-kali saya pesan supaya jangan sesekali putus asa dan cepat mengalah.
berkenaan projek saya itu, secara ringkasnya, saya menjalankan eksperimen ke atas 'habbatus sauda/Nigella sativa/black seed untuk melihat kesan anti-inflammatori dan kesan analgesik yang boleh dihasilkan oleh tumbuhan ini. sengaja saya pilih habbatus sauda ini sebagai tumbuhan kajian saya kerana memang jelas di dalam hadith menyatakan bahawa tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat yang perlu manusia terokai. kajian sebelumni sudah membuktikan kedua-dua kesan tersebut tetapi saya menggunakan kaedah eksperimen yang sedikit berbeza. haiwan ujian saya sudah tentulah tikus dan mencit (tikus yang lebih kecil). pada cuti semester lepas, saya telah memulakan projek saya. pertama kali mengendalikan tikus-tikus ini memang menggerunkan saya. secara jujurnya saya rasa amat takut untuk memegang mereka tetapi saya sudah memilih kajian sebegini. jadi, mahu tidak mahu, saya perlu melakukan juga. dan alhamdulillah saya berjaya mengatasi rasa takut itu. benarlah seperti apa yang ahli motivasi sering perkatakan, untuk mengatasi rasa takut perlu kita melalui ketakutan kita itu. selepas itu, akan berkurang rasa takut itu malah mungkin boleh hilang terus. dan dengan hilangnya rasa takut itu, saya berjaya menyuap tikus-tikus itu dengan sediaan drug. ia suatu proses yang susah sebab tikus itu akan meronta-ronta minta dilepaskan. terima kasih kepada yam dan encik rosli sebab bersusah-payah mengajar saya teknik yang betul untuk memegang tikus sewaktu proses administrasi drug dan untuk pembengkakantapak kaki tikus tersebut. minggu ini, saya ada satu lagi ekperimen yang perlu saya siapkan minggu ini iaitu untuk menguji kesan analgesik dan kali ini mencit yang comel tetapi garang itu menjadi haiwan ujian saya. semoga kalian dapat memberi kerjasama ya! dalam hati, saya berdoa agar apa yang saya lakukan ini bukanlah suatu yang sia-sia. saya yakin ada jutaan hikmah tersirat di sebalik kesusahan yang saya sedang hadapi ini, insya-Allah.
.:: episod ketiga ::.
dalam tempoh kurang sebulan dalam tempoh kurang sebulan lagi, abang hafiz akan menukar status bujangnya kepada status berkahwin. dan saya antara orang penting dalam keluarga yang perlu bertungkus-lumus menjayakan majlis ringkas di rumah kami pada 8 disember ini. tidak mungkin mama dan babah hendak mengharapkan adik-adik saya yang menguruskannya. dan untuk itu, selesai sahaja program di Merbok, saya mendapat perintah dari babah agar terus pulang ke rumah untuk menyiapkan tujuh barang hantaran abang fiz yang masih tidak bersentuh lagi itu. dan saya perlu menyiapkannya dalam tempoh 4 hari sebab pada kami perlu bertolak lebih awal ke kuala lumpur untuk upacara akad nikah. ya Rabbi, mampukah saya untuk menyiapkannya? saya rasa tidak susah selagi ada idea di kepala. dan masalah sekarang adalah idea untuk barang hantaran itu masih menerjah minda saya. boleh sahaja saya meletakkan barang hantaran itu dalam kotak lutsinar yang dihias dengan riben ala kadar tetapi itu bukanlah yang saya inginkan. saya inginkan kelainan; yang tidak ada orang pernah fikirkan. untuk itu, saya perlu mengaktifkan aktiviti otak kanan saya untuk menjadi kreatif. boleh sahaja cuma saya perlu memulakan dari sekarang untuk memikirkan konsep-konsep yang saya ingin tampilkan bagi setiap barang hantaran tersebut (konsep??haha). sekali lagi, saya menyusahkan diri saya (haiihh!!)
.:: kesimpulan ::.
kesemua episod di atas adalah sebahagian daripada hidup yang perlu saya lalui buat masa ini. dalam erti lain, perkara-perkara terpenting buat saya. dan saya mengharapkan saya berjaya melepasi episod-episod tersebut. dan yang paling penting, saya mengharapakan diri saya dapat menjadi lebih dewasa seiring dengan masa dan usia saya. ada orang dewasa yang masih tidak dewasa. pada hemat saya, saya sudah dewasa. atau lebih tepat lagi pra-dewasa (ada ke istilah ni??)tidak lama lagi saya akan menukar no 2 kepada no 3 dalam umur saya. 2 ke 3 nampak seperti perkara biasa tetapi pada saya ada sesuatu yang luar biasa bagi peralihan kedua-dua nombor tersebut. suatu peralihan yang memerlukan saya menjadi dewasa. tetapi ini tidak bermakna saya perlu menjadi sangat-sangat dewasa; cukuplah sekadar saya dapat bertindak lebih rasional pada masanya.
coffee for the day (_)3 :
'kerana ini hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan..'
1 comment:
hoho, nanti letak gambar hantaran yang lain dari yang lain tu kat sini.
Post a Comment