Pages

11 June 2008

jom main masak-masak nak tak?

tiba-tiba sahaja saya teringat kisah saya sewaktu zaman muda dahulu kala. antara permainan yang saya gemari adalah 'masak-masak'. hmm, 'masak-masak' adalah gelaran yang saya berikan pada alat permainan yang terdiri daripada set pinggan mangkuk, set dapur dan segala jenis perkakas dapur yang lain. seingat saya, sudah berjenis-jenis set 'masak-masak' yang mama sedah belikan. seperti biasa, ada yang hilang entah ke mana. teman sepermainan saya pula tentulah hajar - adik saya. kalau di musim cuti sekolah, saya pasti ternanti-nanti kedatangan shakila, cucu jiran sebelah rumah saya dari kuala lumpur. mujurlah auntie sharma tidak kisah saya bermain seharian dengan anaknya. dalam permainan ini, kami sentiasa berlakon seolah-olah hidup sebagai sebuah keluarga. dan saya tentulah menjadi ibu dalam 'keluarga' kami ini. untuk menjadikan lebih realistik, kami akan mencabut rumput-rumput kecil dalam pasu untuk dijadikan sebagai sayur-sayuran kami. mujurlah kami tidak menangkap anak ikan di dalam longkang sebelah rumah uncle seong untuk turut dijadikan santapan kami. plot lakonan kami biasanya melibatkan ayah yang bekerja, anak yang bersekolah dan anak yang perlu diasuh. dunia lakonan kami ada siang dan malamnya. indah sungguh di kala saya mengingati semua itu. kini, setiap kali ternampak set 'masak-masak' di pasar raya, pasti saya akan tersenyum keseorangan. haha. sesuatu yang manis sekali. saya terfikir-fikir, mungkin permainan sebeginilah yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan itu lebih cenderung membina sifat semula jadi wanita dalam dirinya. mungkin juga kan? apa tidaknya, kalau perlu berlakon menjadi seorang ibu, dari usia muda lagi si kecil ini didedahkan akan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu pabila dewasa nanti. hmm ada logiknya di situ. dan saya tidak pasti sama ada permainan ini telah berjaya membentuk saya menjadi yang sepatutnya. hmm barangkali ya dan mungkin juga kurang berjaya (saya akui sampai sekarang saya masih tidak mahir memasak, kalau yang ringkas mungkin boleh. hehe)

dan saya perasan jarang sungguh kelihatan gadis-gadis kecil masa kini bermain dengan permainan sebegitu rupa. kebanyakannya lebih tertarik dengan menonton rancangan seperti Tom Tom Bak yang saya kira tiada manfaat langsung, disogokkan dengan buku pelajaran sehingga kanak-kanak itu tidak berupaya membina imaginasi kreatif mereka sendiri dan yang paling menarik, lebih ramai yang tertarik untuk memerap di dalam rumah sambil bermain 'computer game'. bukannya salah cuma saya rasakan dunia kanak-kanak ini perlu diterokai dengan lebih kreatif dan inovasi kerana saya percaya minda yang kreatif nantilah yang akan menjadikan kanak-kanak itu lebih proaktif ketika usianya menjangkau dewasa. sebab itu saya suka menggalakan anak-anak buah saya bermain di taman permainan yang penuh warna-warni itu, sekali-sekala tolong saya memasak dan mengemas, dan paling saya suka sama-sama melukis dan mewarna dengan mereka. dan ada masanya kita akan takjub dengan kekreatifan mereka. saya sendiri belajar dari mereka. tidak percaya? cubalah dulu!

p/s: saya rindu untuk main 'masak-masak'. tapi kini saya perlu 'main' betul-betul di dapur. haha

No comments:

 

Template by BloggerCandy.com